Pengumuman Aktiviti Terkini



Malam Mahabbah Rasulullah

Malam Mahabbah Rasulullah

5.30 ptg
: Ketibaan Para Jemputan
6.00 ptg
: Qasidah oleh kumpulan Al-Ulfah

Madrasah Azzein Lissuluk Ilallah
6.30 ptg
: Ratib Haddad oleh Ittihad An-Nur Malaysia
6.45 ptg
: Tazkirah oleh Ustaz Hambali
7.00 mlm
: Qasidah dan Salawat
7.10 mlm
: Ketibaan Tetamu-tetamu Kehormat
7.25 mlm
: Solat Maghrib Berjemaah
7.55 mlm
: Majlis dimulakan oleh Peng. Majlis, Ust. Shuhadak
Mahmud

Pengasas Sahah Al Ja’afaryyah Negeri
Sembilan
8.00 mlm
: Bacaan Al-Quran oleh Dr. Sheikh Solah Zaki Al-Qadiri, Pensyarah
USIM
8.20 mlm : Maulid
Dhiaulla’mie Oleh Ittihad An-Nur Malaysia
9.00 mlm
: Ketibaan Jemputan Al Habib Umar Bin Hafidz
10.30 mlm
: Solat Isya berjemaah
11.00 mlm
: Jamuan / Bersurai
Semua Muslimin dan
Muslimat Dijemput HadirSemua penduduk muslimin & muslimat dijemput hadir bagi membantu melancarkan program.

Penawar Jiwa

Listen to Quran

Sunday, August 30, 2009

3 Tahap Ibadat Puasa


IBADAT puasa Ramadan adalah fardu ain bagi setiap Muslim dan Muslimah.

Kefarduan ini ditetapkan dalam al-Quran, sunnah dan kesepakatan ulama.
“Telah difardukan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah difardukan

ke atas orang yang terdahulu daripada kamu.” (al-Baqarah:83)

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Didirikan Islam atas lima perkara – antaranya puasa Ramadan.” (Riwayat Bukhari)

Berpuasa perlu dilakukan mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dan diterangkan ulama supaya ibadat berkenaan membawa keredaan, keberkatan dan pahala berganda.

Tetapi hari ini kita menemui ada golongan yang berpuasa dengan gaya tersendiri seperti puasa di depan khalayak, berbuka bila berseorangan, manakala ada juga berpuasa perut, tetapi anggota lain tidak.

Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumiddin menyebut, puasa ada tiga kedudukan iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus al-khusus.

Puasa umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat.

Puasa khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa.

Sementara puasa khusus al-khusus ialah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain daripada Allah sepenuhnya.

Puasa akan terbatal pada tahap ini lantaran memikirkan perkara selain daripada Allah dan hari akhirat.

Demikian juga akan terbatal puasa dengan memikirkan dunia kecuali urusan dunia yang kepentingannya untuk agama kerana itu termasuk bekalan akhirat dan bukan urusan dunia.

Arbab al-Qulub (orang yang prihatin dengan hati mereka) berkata, sesiapa yang pada siang Ramadan tergerak keinginannya mencari apa yang akan dimakan ketika berbuka puasa, ditulis satu kesalahan kerana ia lahir daripada sikap kurang percaya pada pemberian Allah dan kurang yakin terhadap rezeki yang dijanjikan.

Tahap puasa seperti ini ialah tahap nabi, as-siddiqin dan al-muqarrabin.

Puasa seperti ini tidak mungkin dapat digambarkan dengan perkataan, tetapi boleh direalisasikan dengan amalan.

Menurut Imam al-Ghazali, bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang soleh, perlu menyempurnakan enam perkara iaitu:

*Menundukkan pandangan dan menahan daripada melihat perkara tercela dan dibenci oleh syariat serta daripada segala perkara yang boleh mengganggu dan melalaikan hati daripada mengingati Allah.


*Memelihara lidah daripada menuturkan perkataan yang tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat dan dusta. Hendaklah lebih banyak berdiam diri, banyak berzikir dan membaca al-Quran.


*Menahan daripada mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak. Ini kerana setiap perkataan yang haram dituturkan, haram juga didengar.Justeru, Allah menyamakan pendengaran haram dengan memakan harta haram seperti firman-Nya bermaksud: “Mereka itu adalah orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram.” (al-Maidah:42)


*Menahan anggota badan daripada melakukan dosa seperti menahan tangan dan kaki daripada perkara yang dilarang dan menahan perut daripada perkara syubhah ketika berbuka.Ini kerana tidak ada makna berpuasa sekiranya pada siang hari menahan daripada makanan halal, tetapi berbuka dengan makanan haram.


*Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan halal sehingga perut penuh dengan makanan terbabit. Ini kerana tidak ada bekas yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh dengan makanan halal.Bagaimana boleh seseorang itu mematahkan keinginan syahwatnya dan menewaskan musuhnya sedangkan apabila berbuka dia seolah-olah hendak mengembalikan semula makanan yang terlepas ketika berpuasa.


*Hendaklah timbul di dalam hatinya perasaan takut dan pengharapan kepada Allah kerana dia tidak tahu sama ada puasanya diterima Allah dan termasuk di kalangan orang yang berjaya atau puasanya tidak diterima lalu dia termasuk di kalangan orang celaka.

Monday, August 24, 2009

Sheikh Nazim Al Haqqani

Tazkirah Ramadhan

Oleh : Ustaz Hambali Bin Saad

Dari : Surau Al-Amin, Taman Ros Mewah

Tarikh : 25 Ogos 2009 (Selasa)

Masa : Selepas Solat Terawih

Tempat : Surau Taman Jasmin

Semua Dijemput Hadir

Kelebihan Mengamalkan Sunnah Nabi S.A.W


Daripada Anas ibn Malik ra bekata, Rasulullah S.A.W pernah bersabda : "Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api” (hadith sahih riwayat Tirmidzi no. 2260).

Dari Anas bin Malik ra. katanya, Rasulullah SAW telah berkata kepadaku: 'Hai anakku! Jika engkau mampu tidak menyimpan dendam kepada orang lain sejak dari pagi sampai ke petangmu, hendaklah engkau kekalkan kelakuan itu! Kemudian beliau menyambung pula: Hai anakku! Itulah perjalananku (sunnahku), dan barangsiapa yang menyukai sunnahku, maka dia telah menyukaiku, dan barangsiapa yang menyukaiku, dia akan berada denganku di dalam syurga! ' (Riwayat Tarmidzi)
Dari Ibnu Abbas ra. bahwa Nabi SAW yang berkata: "Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika merata kerusakan pada ummatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid". (Riwayat Baihaqi)
Dalam riwayat Thabarani dari Abu Hurairah ra. ada sedikit perbedaan, yaitu katanya: "Baginya pahala orang yang mati syahid". (At-Targhib Wat-Tarhib 1: 44)

Thabarani dan Abu Nu'aim telah mengeluarkan sebuah Hadis marfuk yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra. bahwa Nabi SAW telah bersabda: "Orang yang berpegang kepada sunnahku dalam zaman kerusakan ummatku akan mendapat pahala orang yang mati syahid".

Hakim pula meriwayatkan dari Abu Hurairah ra. juga bahwa Nabi SAW telah berkata: "Orang yang berpegang kepada sunnahku dalam masa perselisihan diantara ummatku adalah seperti orang yang menggenggam bara api". (Kanzul Ummal 1: 47)

Dan Muslim pula meriwayatkan dari Anas ra. dari Rasulullah SAW katanya: Orang yang tidak suka kepada sunnahku, bukanlah dia dari golonganku! Demikian pula yang dikeluarkan oleh Ibnu Asakir dari Ibnu Umar ra. cuma ada tambahan di permulaannya berbunyi: Barangsiapa yang berpegang kepada sunnahku, maka dia dari golonganku.

Kemudian Daraquthni pula mengeluarkan sebuah Hadis dari Siti Aisyah r.a. dari Nabi SAW katanya: Sesiapa yang berpegang kepada sunnahku akan memasuki syurga!

Dan dikeluarkan oleh As-Sajzi dari Anas ra. dari Nabi SAW katanya: Barangsiapa yang menghidupkan sunnahku, maka dia telah mengasihiku, dan siapa yang mengasihiku dia akan memasuki syurga bersama-sama aku!

Tuesday, August 18, 2009

Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN
TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.
Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki-Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.
Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)
Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia... (al-Baqarah: 185)
Kelebihan Ramadan
Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: "Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari".
Bulan Ramadan dikenali dengan 'bulan kesabaran'. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.
Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga."
Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:
lPertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.
lKedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.
lKetiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.
Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.
Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: "Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain".
Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.
Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami', (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.
Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.
Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.
Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya".
Kerana Allah
Ramai kalangan ahli fikah, ahli sufi dan ulama yang lain membahaskan makna hadis ini dengan lebih terperinci. Di antara huraian mereka yang ialah :
Pertama: Seseorang yang berpuasa akan meninggalkan segala lintasan dan keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah SWT. Jika diteliti, perkara demikian tidak terdapat pada ibadah yang lain melainkan di dalam puasa.
Misalnya, bagi seseorang yang solat terpaksa meninggalkan keinginan syahwatnya termasuk makan dan minum, namun masanya tidak panjang seperti masa berpuasa. Malah, orang yang hendak mengerjakan solat, makruh mengerjakan solat dalam keadaan dirinya berkeinginan untuk makan.
Oleh itu, disuruh mendahulukan makan daripada solat. Berbeza keadaannya bagi orang yang berpuasa. Dia perlu menahan nafsunya dan keletihan berpuasa sepanjang waktu siang. Bahkan sesetengah negara, ia terpaksa menahan dahaga dan lapar dalam cuaca yang amat panas atau sejuk.
Sekalipun orang yang berpuasa kadang-kala terlalu berkeinginan untuk mendapatkan apa yang diinginkan oleh nafsunya, tetap juga ditinggalkan semata-mata kerana Allah, walaupun perkara tersebut boleh didapati atau dilakukan di tempat yang tidak diketahui oleh seorang manusia pun.
Ini menunjukan tanda keimanannya yang sahih dan benar. Orang yang berpuasa mengetahui bahawa Allah sentiasa melihat perbuatannya, sekali pun ketika berada di tempat yang tersorok atau tersembunyi. Lantaran itu, Allah berfirman selepas itu, maksudnya: "Sesungguhnya dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku".
Sebahagian salafussoleh berkata: "Berbahagialah orang-orang yang meninggalkan syahwatnya kerana suatu janji ghaib yang tidak dapat dilihatnya".
Apabila seseorang mukmin yang berpuasa itu yakin bahawa Allah meredainya ketika dia meninggalkan syahwatnya demi keredaan Tuhannya, maka dia beroleh kelazatan dengan meninggalkan nafsu syahwatnya lantaran keimanan dan keyakinannya itu. Dia memandang bahawa pahala atau azab yang bakal diperolehinya adalah lebih besar daripada kelazatan tidak berpuasa yang tidak dilihat oleh orang lain. Bahkan, bagi sesetengahnya kebencian melakukan perbuatan yang dimurkai Allah tersebut adalah lebih besar daripada ketakutan terhadap azab seksa akhirat akibat tidak berpuasa.
Oleh kerana inilah, kebanyakan orang yang beriman, sekali pun mungkin terlintas membatalkan puasa Ramadan tanpa sebarang keuzuran, tidak akan melakukannya. Sebabnya, mereka mengetahui bahawa Allah SWT akan murka terhadapnya sekiranya dia berbuka. Inilah tanda keimanan seseorang mukmin.
Maka kelazatannya berpindah kepada perkara yang diredai Allah SWT sekalipun perkara tersebut bertentangan dengan kehendak nafsunya. Malah dia berasa perit untuk melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah, sekali pun perkara itu cocok dengan kehendak syahwatnya.
Kedua: Puasa juga adalah rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Ia tidak dapat dilihat atau ditinjau oleh sesiapa pun melainkan Allah SWT. Sehingga dikatakan bahawa amalan puasa tidak dicatat oleh Malaikat Hafazah (pencatat amalan).
Demikianlah sekelumit kecil daripada kebesaran dan kemuliaan Ramadan yang melayakkannya dianggap sebagai Tamu Agung yang datang berkunjung. Wajiblah bagi kita menyambut, melayan dan menunaikan segala hak tetamu istimewa ini, yang belum tentu akan datang berkunjung lagi dalam hidup kita, dengan sebaik dan sesempurna mungkin. Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan!

Thursday, August 13, 2009

Ust Asri Rabbani Meninggal Dunia

Ustaz Asri Dalam Kenangan


KUALA LUMPUR: Penyanyi kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri Ibrahim (gambar), meninggal dunia di Pusat Perubatan Pantai (PMC), Bangsar, di sini akibat sakit jantung, pagi semalam. Allahyarham rebah kira-kira jam 10.30 pagi ketika raptai pelancaran program Syahadah musim kelima, di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum dihantar ke PMC untuk rawatan. Adik iparnya, Adha Buyong, berkata Mohd Asri, 40, dan berasal dari Klang, Selangor menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis.
"Saya menerima panggilan memaklumkan abang ipar saya pengsan. Pagi tadi (semalam) memang abang Asri mengadu tidak sihat dan muntah-muntah, namun dia tetap menyertai raptai itu," katanya ketika ditemui di PMC. Allahyarham meninggalkan isteri, Nor Jannah Shahdan, 38, dan enam anak, Mohd Nasimuddin, 15; Mohd Fathi, 14; Nor Afikah, 12; Mohd Ilham, 10; Sofiyah Munawarah, 6, dan Hamidi Rabbani, 4. Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Islam Kampung Bukit Lanchong, Shah Alam selepas Maghrib, semalam.






Allahyarham adalah vokalis utama Rabbani bersama lapan lagi anggota terdiri daripada Azadan Abdul Aziz, Rahmat Shafie, Mohd Asri Ubaidullah, Lokman Abdul Aziz, Rithahudeen Yaakob, Mohd Nazrul Azhar Tamrin, Zulkifli Azman dan Affendi Shahabudin. Antara lagu popular nyanyian Mohd Asri bersama Rabbani ialah Pergi Tak Kembali, Subhanullah, Intifada, Assalamualaikum, Iqra, Di Ambang Syawal, Ingat Lima Sebelum Lima dan baru-baru ini berduet dengan Amy Search menyanyikan lagu Mentari Merah Di Ufuk Timur. Kumpulan itu dinobatkan sebagai Penyanyi/Artis Nasyid Popular untuk Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) selama lapan tahun berturut-turut. Sementara itu, Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahya, berkata ketika kejadian beliau dalam perjalanan dari pejabatnya ke auditorium untuk menghadiri pelancaran program Syahadah yang akan disiarkan di RTM sempena Ramadan ini.
"Apabila sampai di situ, saya lihat orang ramai mengusung beliau untuk dibawa ke hospital. Tidak lama selepas itu, kami dimaklumkan Asri meninggal dunia. "Majlis diteruskan, tetapi tanpa persembahan perasmian, sebaliknya memainkan lagu tema program Syahadah menerusi cakera padat," katanya. Penerbitan dan Penyelaras Program Syahadah, Ibrahim Zaidi Ismail, berkata beliau terkejut apabila melihat Asri tiba-tiba jatuh sebelum program bermula. "Kira-kira jam 10.30 pagi Asri masuk studio. Asri memegang mikrofon, tetapi beberapa saat sebelum program bermula Allahyarham rebah ke lantai," katanya. Rakan karibnya yang juga anggota kumpulan Raihan, Che Amran Idris menganggap Mohd Asri sebagai idola kerana beliau mula mengenalinya sebelum kemunculan kumpulan nasyid kontemporari lain. "Malah, banyak kumpulan nasyid sekarang, termasuk Raihan sendiri cuba meniru gaya dan penampilan arwah. Kami menganggap arwah sebagai pahlawan dan ikon nasyid," katanya.

Firman Allah
Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu bersembunyi di dalam benteng yang tinggi lagi kokoh...
(Surah An-Nisaa' : 78)

Tiap-tiap umat mempunyai ajal; maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) dipercepatkan.
( Surah Al-A'raaf : 34)

Thursday, August 6, 2009

Tangani Selsema Babi Dengan Islam


BERMULA di Mexico, virus selesema babi menular ke seluruh dunia dengan angka mangsa semakin meningkat dalam tempoh yang singkat, sekali gus membangkitkan kebimbangan banyak pihak.

Menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kumulatif kes melebihi 70,000 dengan lebih 300 kematian.Negara paling teruk seperti Amerika Syarikat, Mexico, Kanada, Chile, United Kingdom dan Australia.
Virus selesema babi atau influenza A (H1N1) muncul daripada campuran virus selesema yang asalnya daripada unggas, babi dan manusia yang berupaya menyebabkan jangkitan membawa maut.

Gejala dan tanda jangkitan virus itu adalah demam, batuk, selsema, sakit badan serta susah bernafas, selain berlaku di kalangan mereka yang ada kaitan dengan ternakan babi.
Ia dikatakan mudah berjangkit sesama manusia apabila individu dijangkiti batuk dan bersin dengan tidak menutup mulut.
Justeru, sebagai langkah pencegahan, setiap individu sewajarnya menjaga tahap kesihatan dan kebersihan tanpa mengira waktu dan tempat.
Dalam Islam, kebersihan amat ditekankan sebagaimana sabda Nabi s.a.w, maksudnya: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.”

Berhubung wabak khususnya yang membawa maut, baginda bersabda, maksudnya: “Jika anda mendengar mengenainya di satu tempat, jangan ke sana, tetapi jika wabak itu berlaku di sebuah negeri di mana anda berada, terus berada di situ, jangan lari dari tempat itu.”

Kemudian, al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, yang Nabi s.a.w, bersabda, maksudnya: “Unta-unta menderita kerana penyakit (kudis atau kurap) tidak seharusnya bercampur dengan unta-unta yang sihat.”
Hadis itu menerangkan mengenai pengasingan atau kuarantin antara haiwan yang baik dan berpenyakit. Dalam kes manusia, ia memerlukan lebih pemerhatian.

Kerajaan prihatin dengan masalah itu dengan mengambil beberapa langkah pencegahan.
Usaha itu selaras dengan saranan hadis di atas, malah menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ia bertepatan dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya menjaga kesihatan dan keselamatan diri.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata saranan supaya orang ramai tidak berkunjung ke negara dilanda virus H1N1 juga patut diikuti serta dipatuhi.
“Garis panduan berkaitan kaedah pengawalan wabak penyakit itu berdasarkan hadis Nabi Muhammad yang diriwayatkan Abdullah bin Amir supaya orang ramai tidak ke sesuatu tempat dilanda wabak dan jika berada di sesuatu tempat dilanda wabak pula, seseorang itu hendaklah kekal berada di situ.
“Cara dilakukan ini selaras tuntutan Maqasid Syariah atau objektif syariah,” katanya.
Penularan kes terbabit semakin meluas, malah dalam waktu sama mengundang pelbagai tanggapan dan andaian di kalangan penduduk. Sesetengah juga membataskan pergaulan dan urusan dengan khalayak bagi mengelak jangkitan.

Tidak kurang masyarakat Islam mempersoalkan kefarduan dalam ibadat seperti solat berjemaah dan Jumaat, sama ada ia gugur atau tidak kerana bimbang penularan wabak itu.
Profesor Syariah di Universiti Alexandria, Dr Muhammad Kamal Imam, berkata selesema babi adalah wabak global merebak ke beberapa negara di seluruh dunia dan tidak terbatas di tempat asalnya.
“Apa yang diisytiharkan WHO tidak membabitkan sebarang kuat kuasa undang-undang, namun ia boleh dikatakan yang semua langkah penting dan berjaga-jaga seharusnya diperhatikan di tempat penyakit cepat tersebar.
“Tetapi masih tidak membayangkan gugurnya kefarduan menghadiri solat Jumaat. Ini kerana penduduk (di kawasan terbabit) boleh terus bekerja dan bertemu di rumah, malah mengerjakan solat Jumaat di mana-mana,” katanya.
Profesor Fiqah Perbandingan Universiti Al-Azhar, Dr Sa’d Hilal, berkata menghadiri solat Jumaat adalah tanggungjawab individu setiap lelaki Muslim dewasa, siuman dan mastautin, bukan pengembara yang tiada keuzuran syarie bagi meninggalkannya seperti sakit.
Menurutnya, individu Muslim dilarang meninggalkan solat Jumaat kerana perintah mengerjakannya termaktub dalam al-Quran, sebagaimana ditegaskan dalam surah al-Jumu’ah.

“Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

(Al-Jumu`ah 62:9)

Dr Sa’d berkata, walaupun perisytiharan WHO (sebagai wabak) memerlukan pemerhatian berhati-hati, orang Islam tidak boleh mengabaikan solat Jumaat dan solat berjemaah, kecuali wabak tersebar luas.
Menurutnya, mereka yang menghadiri solat Jumaat dan solat jemaah perlu berwaspada, misalnya menghindari berjabat tangan atau menahan diri daripada berpeluk dan berkucup satu sama lain (di tempat yang teruk).
“Mereka perlu mengelak semua bentuk yang boleh membawa kepada pemindahan jangkitan,” katanya