Sabda Nabi S.A.W :
وعن أبي هريرة رضى الله عنه عن النبي قال : سَبْعَةٌ يُظِلُّمُهُمُ اللهُ فِى ظِلِّهِ يَوْمَ لاظِلَّ إِلا ظِلُّهُ : إِمَامٌ عَادِلٌ وَشَابٌ نَشَأَ فِى عِبَادَةِ اللهِ عَزَّوَجَلَّ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالمَسَاجِدِ وَرَجُلانِ تَحَابَّا فِى اللهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ و َرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَة ٌذَاتُ مَنْصَبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ : إِنِّي أَخَافُ اللهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتّى (لاتَعْلَمَ شِمَالُهُ مَاتُنْفِقُ َيمِيْنُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ تَعَالَى خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ ( متفق عليه
Maksudnya : Dari Abu Hurairah R.A telah bersabda Nabi S.A.W 7 golongan yang akan mendapat perlindungan Allah S.W.T pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan Allah S.W.T pada hari akhirat nanti iaitu :
Golongan pertama ialah pemimpin yang adil
~kebiasaannya jika pemimpin tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T serta adil dalam bertindak mengikut garisan yang telah ditetapkan oleh syarak maka rakyat bawahan pun ramai yang mengikut jejak langkahnya dalam mencari keredhaan Allah S.W.T di dunia dan akhirat. Rosaknya pemimpin maka ramailah rakyat jelata yang turut rosak kerana rakyat megikut agama pemimpin mereka. Kita sentiasa mengalu-alukan perancangan kerajaan untuk memastikan pelajar sekolah rendah wajib khatam al-Quran dan memahami agama dengan baik tetapi dalam masa yang sama pemimpin mestilah bukan sahaja mampu membaca al-Quran tetapi bersungguh-sungguh dalam melaksanakan segala tuntutan al-Quran yang menyeluruh termasuk ekonomi, perundangan, sosial dan sebagainya bukannya menjadikan Islam sebagai agama ibadat khusus semata-mata. Musuh Islam tidak pernah gerun terhadap umat Islam yang kaya harta jika kurangnya agama sebaliknya musuh Islam sentiasa berusaha dalam memerangi umat Islam yang miskin harta tetapi kaya agama kerana harta tidak pernah menggugat kedudukan kuffar tetapi agama telah banyak meruntuhkan kezaliman dan kesesatan kerajaan kuffar sebelum ini.
Golongan kedua ialah pemuda yang hidupnya sentiasa beribadat kepada Allah S.W.T
Golongan kedua ialah pemuda yang hidupnya sentiasa beribadat kepada Allah S.W.T
~golongan ini mestilah dilahirkan dalam sesebuah negara bagi mengelakkan lebih banyak kemungkaran dan kerosakan yang berlaku. Apabila umat Islam sentiasa menjaga ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat ditambah dengan makan minum perkara yang halal dari hasil yang halal, menguruskan keluarga, masyarakat dan negara mengikut kehendak syarak disamping berusaha melaksanakan seluruh tuntutan Islam dalam setiap kerja dan pergerakannya sehingga semua itu dihisab sebagai ibadat oleh Allah S.W.T maka segala masalah jenayah dan keruntuhan akhlak dapat ditangani dengan baik. Sebaliknya jika umat Islam memisahkan urusan dunia seperti ekonomi, perundangan, sosial daripada dosa pahala maka keadaan kehidupan mereka semakin lama semakin hancur serta semakin dekat kepada kekufuran yang menyebabkan tiada lagi perbezaan yang ketara antara umat Islam dengan bukan Islam. Inilah yang bakal mengundang kemurkaan Allah S.W.T dan penghinaanNya. Kita dapat lihat kesan daripada tidak sembahyang menyebabkan ramai pemuda Islam yang runtuh akhlaknya dan banyak melakukan jenayah sehingga menggugat keamanan negara.
Golongan ketiga ialah seseorang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid
~kita semua wajib berusaha menghidupkan masjid dengan program serta majlis ilmiah bagi memupuk kefahaman tentang kepentingan solat berjemaah dan bukan berusaha mematikannnya agar negara dapat melahirkan lebih ramai rakyat yang sentiasa berjemaah di masjid serta menghidupkannya dengan pelbagai aktiviti yang dapat mengembalikan semula kegemilangan Islam.
Golongan keempat ialah 2 orang yang berkasih sayang kerana Allah S.W.T di mana mereka bersatu dan berpisah kerana Allah
~kasih sayang yang ditanamkan atas dasar iman ini begitu penting terutama dalam berhadapan dengan kekejaman musuh Islam. Betapa bahayanya apabila kasih sayang seumpama ini tiada dalam hati sanubari umat Islam. Begitu juga kasih sayang berasaskan iman wajib disuburkan agar saudara seagama sentiasa dibantu walau di mana mereka berada. Kita mesti sentiasa membantu sekurang-kurangnya dengan doa agar Allah S.W.T membantu umat Islam yang sedang ditindas di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Selatan Filiphina, Acheh dan sebagainya. Begitu juga dengan tekanan disebabkan larangan bertudung ke atas umat Islam di Perancis. Tidak lupa kepada nasib yang menimpa umat Islam di Selatan Thailand termasuk Fatani, Narathiwat, Yala yang kini ditekan akibat pembakaran sekolah, bom balai polis dan kehilangan senjata 2 minggu lalu yang telah menyebabkan pelbagai tindakan keras dikenakan termasuk perintah berkurung yang menjejaskan perjalanan majlis ilmu pada waktu malam serta pemeriksaan ke atas pondok-pondok bila-bila masa yang dikehendaki sehingga baru-baru ini ada kubur yang baru ditanam mayatnya diperintah agar digali semula atas alasan disyaki dijadikan tempat simpan senjata. Umat Islam terus ditekan sedangkan bukti yang menyatakan umat Islam yang terlibat dalam kejadian itu belum diketahui.
Golongan kelima ialah seorang lelaki yang dipujuk oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik untuk berzina lalu dia menyatakan bahawa dia takutkan Allah
Golongan kelima ialah seorang lelaki yang dipujuk oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik untuk berzina lalu dia menyatakan bahawa dia takutkan Allah
~usaha dalam memastikan kebanyakan pintu zina ditutup mestilah ditingkatkan. Jika terlalu banyak pintu zina dibuka maka semakin ramai yang cuba dan menghampirinya sehingga semakin teruknya keruntuhan akhlak rakyat. Betapa malangnya apabila ramai yang lantang bersuara membantah tindakan pihak tertentu yang membuat etika berpakaian terhadap orang bukan Islam supaya lebih sopan. Sedangkan suara ini tidak kedengaran apabila wanita dijadikan alat pelaris barangan melalui iklan yang menjolok mata. Kita turut mendesak agar program hiburan supaya diasingkan antara peserta lelaki dan perempuan serta dititikberatkan adab mengikut Islam bukannya nafsu. Jangan rosakkan rakyat dengan aktiviti pergaulan bebas sepanjang program tersebut sehingga anak-anak yang dididik begitu lama oleh ibubapa dan guru-guru akhirnya dirosakkan dalam masa beberapa bulan.
Golongan keenam ialah seseorang yang bersedekah lalu dia sembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya
~umat Islam sentiasa dilatih agar memberikan barangan miliknya kepada orang yang lebih memerlukannya melalui zakat. Apabila diri sentiasa dilatih dengan perkara yang wajib lalu melembutkan hati untuk melakukan sedekah sunat dengan penuh keikhlasan. Sedekah jenis inilah yang digeruni oleh musuh Islam kerana ia bakal menguatkan kembali kesatuan umat Islam dan ekominya yang bakal menggugatkan kedudukan musuh.
Golongan ketujuh ialah seseorang yang mengingati Allah S.W.T dalam keadaan sunyi lalu menitislah air matanya
Golongan ketujuh ialah seseorang yang mengingati Allah S.W.T dalam keadaan sunyi lalu menitislah air matanya
~umat Islam mesti berusaha untuk lahir sebagai golongan yang bertindak cergas seumpama singa disiang hari ketika melawan musuh serta begitu rapat hubungannya dengan Allah S.W.T terutama waktu malam. Golongan inilah yang digeruni oleh musuh Islam kerana mereka bakal dibantu oleh Allah S.W.T. Ingatlah bahawa persediaan untuk melawan musuh bukan semata-mata bergantung kepada kekuatan tentera dan senjata tetapi apa yang lebih penting ialah ikatan perhubungan umat Islam dengan Allah S.W.T yang membolehkan datangnya pertolongan dan kemenangan daripada Allah S.W.T.
Firman Allah dalam ayat 63-64 surah al-Furqan :
وعباد الرحمن الذين يمشون على الأرض هونا وإذا خاطبهم الجــهلون قالوا سلــما . والذين يبيتون لربهم سجدا وقيــما
Maksudnya : Dan hamba-hamba Allah Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi ini dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka lalu mereka ucapkan kata-kata yang baik. Dan mereka melalui malam hari dengan bersujud serta berdiri bagi menyembah Allah
No comments:
Post a Comment