Pengumuman Aktiviti Terkini



Malam Mahabbah Rasulullah

Malam Mahabbah Rasulullah

5.30 ptg
: Ketibaan Para Jemputan
6.00 ptg
: Qasidah oleh kumpulan Al-Ulfah

Madrasah Azzein Lissuluk Ilallah
6.30 ptg
: Ratib Haddad oleh Ittihad An-Nur Malaysia
6.45 ptg
: Tazkirah oleh Ustaz Hambali
7.00 mlm
: Qasidah dan Salawat
7.10 mlm
: Ketibaan Tetamu-tetamu Kehormat
7.25 mlm
: Solat Maghrib Berjemaah
7.55 mlm
: Majlis dimulakan oleh Peng. Majlis, Ust. Shuhadak
Mahmud

Pengasas Sahah Al Ja’afaryyah Negeri
Sembilan
8.00 mlm
: Bacaan Al-Quran oleh Dr. Sheikh Solah Zaki Al-Qadiri, Pensyarah
USIM
8.20 mlm : Maulid
Dhiaulla’mie Oleh Ittihad An-Nur Malaysia
9.00 mlm
: Ketibaan Jemputan Al Habib Umar Bin Hafidz
10.30 mlm
: Solat Isya berjemaah
11.00 mlm
: Jamuan / Bersurai
Semua Muslimin dan
Muslimat Dijemput HadirSemua penduduk muslimin & muslimat dijemput hadir bagi membantu melancarkan program.

Penawar Jiwa

Listen to Quran

Monday, September 7, 2009

Jom Bayar Zakat Fitrah



Pengumuman

Madrasah Aliyah akan mengadakan program membayar zakat fitrah seperti berikut:-

Tarikh : 22 Ramadhan 1430h (Sabtu) Bersamaan 12 September 2009

Masa : 10.00 pagi

Tempat : Madrasah Aliyah, Jalan Sikamat, Negeri Sembilan

Harga : RM 7.00 (Ditukar dengan beras dan diberikan terus kepada asnaf mengikut kaifiat Mazhab Syafie)

Semua Dijemput Hadir

“Hai orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu”. –
(Surah al-Baqarah, ayat 267).

"Apabila kamu tunaikan zakat hartamu, maka telah hilanglah daripadamu keburukannya.” (Hadis riwayat al-Hakim)

“Bentengilah harta bendamu dengan (mengeluarkan) zakat.” (Hadis riwayat Abu Daud)


TUJUH GOLONGAN MANUSIA YANG DILINDUNGI ALLAH S.W.T



Sabda Nabi S.A.W :


وعن أبي هريرة رضى الله عنه عن النبي قال : سَبْعَةٌ يُظِلُّمُهُمُ اللهُ فِى ظِلِّهِ يَوْمَ لاظِلَّ إِلا ظِلُّهُ : إِمَامٌ عَادِلٌ وَشَابٌ نَشَأَ فِى عِبَادَةِ اللهِ عَزَّوَجَلَّ وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالمَسَاجِدِ وَرَجُلانِ تَحَابَّا فِى اللهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ و َرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَة ٌذَاتُ مَنْصَبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ : إِنِّي أَخَافُ اللهَ وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتّى (لاتَعْلَمَ شِمَالُهُ مَاتُنْفِقُ َيمِيْنُهُ وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ تَعَالَى خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ ( متفق عليه


Maksudnya : Dari Abu Hurairah R.A telah bersabda Nabi S.A.W 7 golongan yang akan mendapat perlindungan Allah S.W.T pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan Allah S.W.T pada hari akhirat nanti iaitu :

Golongan pertama ialah pemimpin yang adil
~kebiasaannya jika pemimpin tunduk dan patuh kepada Allah S.W.T serta adil dalam bertindak mengikut garisan yang telah ditetapkan oleh syarak maka rakyat bawahan pun ramai yang mengikut jejak langkahnya dalam mencari keredhaan Allah S.W.T di dunia dan akhirat. Rosaknya pemimpin maka ramailah rakyat jelata yang turut rosak kerana rakyat megikut agama pemimpin mereka. Kita sentiasa mengalu-alukan perancangan kerajaan untuk memastikan pelajar sekolah rendah wajib khatam al-Quran dan memahami agama dengan baik tetapi dalam masa yang sama pemimpin mestilah bukan sahaja mampu membaca al-Quran tetapi bersungguh-sungguh dalam melaksanakan segala tuntutan al-Quran yang menyeluruh termasuk ekonomi, perundangan, sosial dan sebagainya bukannya menjadikan Islam sebagai agama ibadat khusus semata-mata. Musuh Islam tidak pernah gerun terhadap umat Islam yang kaya harta jika kurangnya agama sebaliknya musuh Islam sentiasa berusaha dalam memerangi umat Islam yang miskin harta tetapi kaya agama kerana harta tidak pernah menggugat kedudukan kuffar tetapi agama telah banyak meruntuhkan kezaliman dan kesesatan kerajaan kuffar sebelum ini.

Golongan kedua ialah pemuda yang hidupnya sentiasa beribadat kepada Allah S.W.T
~golongan ini mestilah dilahirkan dalam sesebuah negara bagi mengelakkan lebih banyak kemungkaran dan kerosakan yang berlaku. Apabila umat Islam sentiasa menjaga ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat ditambah dengan makan minum perkara yang halal dari hasil yang halal, menguruskan keluarga, masyarakat dan negara mengikut kehendak syarak disamping berusaha melaksanakan seluruh tuntutan Islam dalam setiap kerja dan pergerakannya sehingga semua itu dihisab sebagai ibadat oleh Allah S.W.T maka segala masalah jenayah dan keruntuhan akhlak dapat ditangani dengan baik. Sebaliknya jika umat Islam memisahkan urusan dunia seperti ekonomi, perundangan, sosial daripada dosa pahala maka keadaan kehidupan mereka semakin lama semakin hancur serta semakin dekat kepada kekufuran yang menyebabkan tiada lagi perbezaan yang ketara antara umat Islam dengan bukan Islam. Inilah yang bakal mengundang kemurkaan Allah S.W.T dan penghinaanNya. Kita dapat lihat kesan daripada tidak sembahyang menyebabkan ramai pemuda Islam yang runtuh akhlaknya dan banyak melakukan jenayah sehingga menggugat keamanan negara.

Golongan ketiga ialah seseorang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid
~kita semua wajib berusaha menghidupkan masjid dengan program serta majlis ilmiah bagi memupuk kefahaman tentang kepentingan solat berjemaah dan bukan berusaha mematikannnya agar negara dapat melahirkan lebih ramai rakyat yang sentiasa berjemaah di masjid serta menghidupkannya dengan pelbagai aktiviti yang dapat mengembalikan semula kegemilangan Islam.

Golongan keempat ialah 2 orang yang berkasih sayang kerana Allah S.W.T di mana mereka bersatu dan berpisah kerana Allah
~kasih sayang yang ditanamkan atas dasar iman ini begitu penting terutama dalam berhadapan dengan kekejaman musuh Islam. Betapa bahayanya apabila kasih sayang seumpama ini tiada dalam hati sanubari umat Islam. Begitu juga kasih sayang berasaskan iman wajib disuburkan agar saudara seagama sentiasa dibantu walau di mana mereka berada. Kita mesti sentiasa membantu sekurang-kurangnya dengan doa agar Allah S.W.T membantu umat Islam yang sedang ditindas di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Selatan Filiphina, Acheh dan sebagainya. Begitu juga dengan tekanan disebabkan larangan bertudung ke atas umat Islam di Perancis. Tidak lupa kepada nasib yang menimpa umat Islam di Selatan Thailand termasuk Fatani, Narathiwat, Yala yang kini ditekan akibat pembakaran sekolah, bom balai polis dan kehilangan senjata 2 minggu lalu yang telah menyebabkan pelbagai tindakan keras dikenakan termasuk perintah berkurung yang menjejaskan perjalanan majlis ilmu pada waktu malam serta pemeriksaan ke atas pondok-pondok bila-bila masa yang dikehendaki sehingga baru-baru ini ada kubur yang baru ditanam mayatnya diperintah agar digali semula atas alasan disyaki dijadikan tempat simpan senjata. Umat Islam terus ditekan sedangkan bukti yang menyatakan umat Islam yang terlibat dalam kejadian itu belum diketahui.

Golongan kelima ialah seorang lelaki yang dipujuk oleh seorang wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik untuk berzina lalu dia menyatakan bahawa dia takutkan Allah
~usaha dalam memastikan kebanyakan pintu zina ditutup mestilah ditingkatkan. Jika terlalu banyak pintu zina dibuka maka semakin ramai yang cuba dan menghampirinya sehingga semakin teruknya keruntuhan akhlak rakyat. Betapa malangnya apabila ramai yang lantang bersuara membantah tindakan pihak tertentu yang membuat etika berpakaian terhadap orang bukan Islam supaya lebih sopan. Sedangkan suara ini tidak kedengaran apabila wanita dijadikan alat pelaris barangan melalui iklan yang menjolok mata. Kita turut mendesak agar program hiburan supaya diasingkan antara peserta lelaki dan perempuan serta dititikberatkan adab mengikut Islam bukannya nafsu. Jangan rosakkan rakyat dengan aktiviti pergaulan bebas sepanjang program tersebut sehingga anak-anak yang dididik begitu lama oleh ibubapa dan guru-guru akhirnya dirosakkan dalam masa beberapa bulan.

Golongan keenam ialah seseorang yang bersedekah lalu dia sembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya
~umat Islam sentiasa dilatih agar memberikan barangan miliknya kepada orang yang lebih memerlukannya melalui zakat. Apabila diri sentiasa dilatih dengan perkara yang wajib lalu melembutkan hati untuk melakukan sedekah sunat dengan penuh keikhlasan. Sedekah jenis inilah yang digeruni oleh musuh Islam kerana ia bakal menguatkan kembali kesatuan umat Islam dan ekominya yang bakal menggugatkan kedudukan musuh.

Golongan ketujuh ialah seseorang yang mengingati Allah S.W.T dalam keadaan sunyi lalu menitislah air matanya
~umat Islam mesti berusaha untuk lahir sebagai golongan yang bertindak cergas seumpama singa disiang hari ketika melawan musuh serta begitu rapat hubungannya dengan Allah S.W.T terutama waktu malam. Golongan inilah yang digeruni oleh musuh Islam kerana mereka bakal dibantu oleh Allah S.W.T. Ingatlah bahawa persediaan untuk melawan musuh bukan semata-mata bergantung kepada kekuatan tentera dan senjata tetapi apa yang lebih penting ialah ikatan perhubungan umat Islam dengan Allah S.W.T yang membolehkan datangnya pertolongan dan kemenangan daripada Allah S.W.T.

Firman Allah dalam ayat 63-64 surah al-Furqan :

وعباد الرحمن الذين يمشون على الأرض هونا وإذا خاطبهم الجــهلون قالوا سلــما . والذين يبيتون لربهم سجدا وقيــما

Maksudnya : Dan hamba-hamba Allah Yang Maha Penyayang itu ialah orang-orang yang berjalan di atas muka bumi ini dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka lalu mereka ucapkan kata-kata yang baik. Dan mereka melalui malam hari dengan bersujud serta berdiri bagi menyembah Allah

Wednesday, September 2, 2009

Dalil Berkaitan Serban Nabi



1. Jabir RH meriwayatkan bahawa tatkala Mekah ditawan maka Rasulullah s.a.w memasuki kotanya dengan memakai serban hitam ( Sohih Muslim, Bab Manasik / Sunan Abu Daud, Bab Pakaian / Sunan Ibnu Majah, Bab Pakaian/ Sunan Tirmizi, Bab Jihad & Pakaian/ Sunan Nasai’e, Bab Perhiasan)


2. ‘Amr ibn Huraith RH berkata :”Daku melihat Rasulullah s.a.w memakai serban hitam ( Sunan Ibnu Majah, Bab Pakaian, Hadis 3584/ Sunan Abu Daud, Bab Pakaian, Hadis 4077/ Sohih Muslim, Bab Haji, Hadis 1359/ Sunan Nasai’e)

3. ‘Amr ibn Hiraith RH berkata : Saya masih ingat Rasulullah s.a.w berkhutbah memakai serban hitam di kepalanya dan shamlah (ekor serban) berada di antara dua bahu baginda”. ( Sohih Muslim dan Sunan Nasai’e)

4. ‘Amr ibn Hiraith RH berkata : Daku melihat Rasulullah s.a.w berkhutbah dengan memakai serban hitam di kepala baginda yang mubaraj (diberkati) ( Sunan Ibnu Majah, Bab Pakaian/ Sunan Abu Daud, Bab Pakaian/ Sohih Muslim, Bab Haji)

5. Ibnu Umar RH meriwayatkan : Apabila Rasulullah s.a.w memakai serban, baginda akan membiarkan ekor serban baginda itu di antara bahu iaitu di belakang. Nafi’ RH berkata : Aku telah lihat Abdullah bin Umar RH meniru cara yang sama Ubaidullah salah seorang murid Nafi’ RH berkata : Daku melihat Qasim bin Muhammad ( cucu Abu Bakar RH) dan Alim bin Abdullah ( cucu Umar RH) juga mengikut cara yang sama ( Sunan Tirmizi , Bab Pakaian, Hadis 1736)

6. Ibnu Abbas RH melaporkan : Rasulllah s.a.w pernah menyampaikan khutbah memakai serban hitam atau lilitan kain (yang ada kesan minyak rambut) (Sohih Bukhari, Bab Manaqib)

7. Sabda nabi s.a.w : Pakailah serban selalu kerana ia menambah kesopanan seseorang ( Fathul Bari) Seorang telah bertanya Abdullah ibnu Umar RH : Adakah memakai serban adalah sunnah?”. Jawab beliau : Benar! Ia adalah sunnah

8. Tersebut dalam sebuah hadis : Biasakanlah memakai serban kerana ia adalah tanda Islam dan membezakan antara Islam dan kafir

Rujukan : 1. Syamail Tirmizi, Abu Isa Muhammad bin Isa bin Sawra at-Tirmizi
2. Khasail Nabawi s,a,w Syarah Syamail Muhammadiyyah s.a.w, Muhammad Zakaria Kandhalawi

Sunday, August 30, 2009

3 Tahap Ibadat Puasa


IBADAT puasa Ramadan adalah fardu ain bagi setiap Muslim dan Muslimah.

Kefarduan ini ditetapkan dalam al-Quran, sunnah dan kesepakatan ulama.
“Telah difardukan ke atas kamu berpuasa seperti mana telah difardukan

ke atas orang yang terdahulu daripada kamu.” (al-Baqarah:83)

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Didirikan Islam atas lima perkara – antaranya puasa Ramadan.” (Riwayat Bukhari)

Berpuasa perlu dilakukan mengikut tatacara yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dan diterangkan ulama supaya ibadat berkenaan membawa keredaan, keberkatan dan pahala berganda.

Tetapi hari ini kita menemui ada golongan yang berpuasa dengan gaya tersendiri seperti puasa di depan khalayak, berbuka bila berseorangan, manakala ada juga berpuasa perut, tetapi anggota lain tidak.

Imam Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumiddin menyebut, puasa ada tiga kedudukan iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khusus al-khusus.

Puasa umum ialah menahan perut dan kemaluan daripada memenuhi kehendak syahwat.

Puasa khusus pula ialah menahan pendengaran, penglihatan, lidah, tangan, kaki dan seluruh anggota badan daripada melakukan dosa.

Sementara puasa khusus al-khusus ialah menahan hati daripada keinginan yang buruk dan daripada memikirkan sesuatu selain daripada Allah sepenuhnya.

Puasa akan terbatal pada tahap ini lantaran memikirkan perkara selain daripada Allah dan hari akhirat.

Demikian juga akan terbatal puasa dengan memikirkan dunia kecuali urusan dunia yang kepentingannya untuk agama kerana itu termasuk bekalan akhirat dan bukan urusan dunia.

Arbab al-Qulub (orang yang prihatin dengan hati mereka) berkata, sesiapa yang pada siang Ramadan tergerak keinginannya mencari apa yang akan dimakan ketika berbuka puasa, ditulis satu kesalahan kerana ia lahir daripada sikap kurang percaya pada pemberian Allah dan kurang yakin terhadap rezeki yang dijanjikan.

Tahap puasa seperti ini ialah tahap nabi, as-siddiqin dan al-muqarrabin.

Puasa seperti ini tidak mungkin dapat digambarkan dengan perkataan, tetapi boleh direalisasikan dengan amalan.

Menurut Imam al-Ghazali, bagi mencapai tahap puasa al-khusus iaitu puasa orang soleh, perlu menyempurnakan enam perkara iaitu:

*Menundukkan pandangan dan menahan daripada melihat perkara tercela dan dibenci oleh syariat serta daripada segala perkara yang boleh mengganggu dan melalaikan hati daripada mengingati Allah.


*Memelihara lidah daripada menuturkan perkataan yang tidak berfaedah seperti gurau senda, mengumpat dan dusta. Hendaklah lebih banyak berdiam diri, banyak berzikir dan membaca al-Quran.


*Menahan daripada mendengar perkataan yang dibenci oleh syarak. Ini kerana setiap perkataan yang haram dituturkan, haram juga didengar.Justeru, Allah menyamakan pendengaran haram dengan memakan harta haram seperti firman-Nya bermaksud: “Mereka itu adalah orang yang suka mendengar berita bohong, banyak memakan yang haram.” (al-Maidah:42)


*Menahan anggota badan daripada melakukan dosa seperti menahan tangan dan kaki daripada perkara yang dilarang dan menahan perut daripada perkara syubhah ketika berbuka.Ini kerana tidak ada makna berpuasa sekiranya pada siang hari menahan daripada makanan halal, tetapi berbuka dengan makanan haram.


*Tidak berlebihan ketika berbuka dengan makanan halal sehingga perut penuh dengan makanan terbabit. Ini kerana tidak ada bekas yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh dengan makanan halal.Bagaimana boleh seseorang itu mematahkan keinginan syahwatnya dan menewaskan musuhnya sedangkan apabila berbuka dia seolah-olah hendak mengembalikan semula makanan yang terlepas ketika berpuasa.


*Hendaklah timbul di dalam hatinya perasaan takut dan pengharapan kepada Allah kerana dia tidak tahu sama ada puasanya diterima Allah dan termasuk di kalangan orang yang berjaya atau puasanya tidak diterima lalu dia termasuk di kalangan orang celaka.

Monday, August 24, 2009

Sheikh Nazim Al Haqqani

Tazkirah Ramadhan

Oleh : Ustaz Hambali Bin Saad

Dari : Surau Al-Amin, Taman Ros Mewah

Tarikh : 25 Ogos 2009 (Selasa)

Masa : Selepas Solat Terawih

Tempat : Surau Taman Jasmin

Semua Dijemput Hadir