Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Seorang yang bernama Juraij sedang beribadat di sebuah gereja. Lalu ibunya datang memanggilnya. Humaid berkata: Abu Rafi' pernah menerangkan kepadaku mengenai bagaimana Abu Hurairah meniru gaya ibu Juraij ketika memanggil anaknya, sebagaimana beliau mendapatkannya daripada Rasulullah s.a.w iaitu dengan meletakkan tangannya di bahagian kepala antara dahi dan telinga serta mengangkat kepalanya: Hai Juraij! Aku ibumu, jawablah panggilanku. Ketika itu perempuan tersebut mendapati anaknya memulakan sembahyang. Dengan keraguan Juraij berkata kepada diri sendiri: Ya Allah! Ibuku atau sembahyangku. Tetapi Juraij telah memilih untuk meneruskan sembahyangnya. Tidak berapa lama selepas itu, perempuan tersebut pergi untuk yang kedua kalinya. Beliau memanggil: Hai Juraij! Aku ibumu, jawablah panggilanku. Juraij bertanya lagi kepada diri sendiri: Ya Allah! Ibuku atau sembahyangku. Tetapi beliau masih lagi memilih untuk meneruskan sembahyangnya. Oleh kerana terlalu kecewa akhirnya perempuan itu berkata: Ya Allah! Sesungguhnya Juraij adalah anakku. Aku sudah memanggilnya berulang kali, namun ternyata beliau enggan menjawabnya. Ya Tuhan, janganlah Engkau matikan beliau sebelum beliau mendapat fitnah yang disebabkan oleh perempuan pelacur. Pada suatu hari seorang penggembala kambing sedang berteduh di gereja Juraij yang terletak jauh terpencil dari orang ramai. Tiba-tiba datang seorang perempuan dari sebuah dusun yang juga sedang berteduh di tempat tersebut. Kemudian keduanya melakukan perbuatan zina, sehingga melahirkan seorang anak. Ketika ditanya oleh orang ramai: Anak dari siapakah ini? Perempuan itu menjawab: Anak dari penghuni gereja ini. Lalu orang ramai berduyun-duyun datang kepada Juraij. Mereka membawa besi perejang. Mereka berteriak memanggil Juraij, yang mana pada waktu itu sedang bersembahyang. Maka sudah tentu Juraij tidak melayani panggilan mereka, akhirnya mereka merobohkan bangunan gerejanya. Ketika melihat keadaan itu, Juraij keluar menemui mereka. Mereka berkata kepada Juraij: Tanyalah anak ini. Juraij tersenyum, kemudian mengusap kepala anak tersebut dan bertanya: Siapakah bapamu? Anak itu tiba-tiba menjawab: Bapaku adalah seorang penggembala kambing. Setelah mendengar jawapan jujur dari anak tersebut, mereka kelihatan menyesal, lalu berkata: Kami akan mendirikan gerejamu yang kami robohkan ini dengan emas dan perak. Juraij berkata: Tidak payahlah, biarkan ia menjadi debu seperti asalnya. Kemudian Juraij meninggalkannya
No comments:
Post a Comment